Jumaat, 10 Mei 2013

UMAR AL-KHATTAB SINGA ALLAH.(PART 1)



Khalifah Umar b. Al-Khattab ra merupakan khalifah Islam yang kedua selepas Khalifah
Abu Bakar ra. Perlantikannya merupakan wasiat daripada Khalifah Abu Bakar.


Nama penuhnya ialah Umar b. Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah
b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab. Di lahirkan pada tahun 583 M daripada Bani Adi iaitu salah satu bani dalam kabilah Quraish yang dipandang mulia, megah, dan
berkedudukan tinggi. Waktu kecilnya pernah mengembala kambing dan dewasanya
beliau berniaga dengan berulang alik ke Syam membawa barang dagangan. Waktu
Jahiliah beliau pernah menjadi pendamai waktu terjadi pertelingkahan hebat antara
kaum keluarganya. Beliau merupakan seorang yang berani, tegas dalam kira bicara,
berterus terang menyatakan fikiran dan pandangannya dalam menghadapi satu-satu
masalah. Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti.

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun ke enam selepas kerasulan Nabi. Beliau
kemudiannya memberi sumbangan yang besar terhadap perkembangan Islam. Sebelum
ini beliau merupakan musuh ketat kepada Islam dan sentiasa menghalangi
perkembangan Islam. Orang Islam ramai yang berasa takut untuk melakukan ibadah
kerana bimbangkan kepada orang Quraish yang selalu mengancang dan mengusir
mereka. Setelah Umar memeluk Islam ramai dari kalangan orang-orang Islam yang
tidak merasa apa-apa curiga lagi dalam mengerjakan ibadat. Beliau digelar “al-Faruq”
yang bermaksud orang yang membezakan hak dengan yang batil. Gelaran ini diberikan
oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam untuk
bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam
sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaganya daripada gangguan orang-orang
Quraish. Nabi Muhammad SAW juga mengelarkannya sebagai “Abu Hafs” kerana
kegagahannya.

Ketika berhijrah ke Madinah, ramai orang Islam yang keluar dari Kota Mekah secara
bersembunyi, tetapi Umar keluar secara berterang-terangan. Pedang di tangannya sedia
menghunus kepada sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya.
Ketika khalifah Abu Bakar sedang sakit dan merasa ajalnya akan tiba, beliau memanggil
sahabat dan meninjau fikiran mereka untuk mencari tokoh Islam bagi dilantik
menggantikan pentadbiran khalifah. Abu Bakar mencadangkan nama Umar untuk
dicalonkan memegang jawatan itu. Cadangan tersebut mendapat persetujuan dari
kalangan sahabat dan orang-orang ramai.

Selepas memerintah negara Islam selama 10 tahun 6 bulan dan 4 hari, beliau pun wafat
pada malam Rabu di akhir bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah, sewaktu berumur 63 tahun.
Beliau mati kerana ditikam oleh Abu Lu’luah, bangsa Parsi yang beragama Majusi.
Beliau dimakamkan berhampiran dengan makam Rasulullah dan Abu Bakar di Madinah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)