‘Kesilapan Ajar Kami’
BANGKIT...Bilek pulih semangat anak buah bangkit melawan.
WROCLAW (Poland): Republik Czech muncul juara Kumpulan A dan menjadi pasukan terawal menempah tempat ke suku akhir Euro 2012 kerana mereka belajar daripada kesilapan, kata jurulatih Michal Bilek.
Petr Jiracek menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menewaskan tuan rumah bersama, Poland sekali gus muncul juara kumpulan dan menggagalkan usaha lawannya itu dan Russia untuk ke suku akhir.
Senario itu dianggap tidak mungkin berlaku selepas tewas 1-4 kepada Russia pada perlawanan pertama.
“Kami bermain hebat, mahu bermain dengan baik dan mempamerkan aksi itu ketika menentang Russia. Malah, kami melakukannya di awal perlawanan (menentang Russia),” kata Bilek.
“Namun, ada kalanya anda terlupa bertahan dan sebab itu mereka dapat menjaringkan banyak gol. “Kami belajar daripada kesilapan itu dan pada perlawanan kedua dan ketiga, kami bertahan dengan lebih baik dan mempamerkan kualiti kami.
“Poland hebat tapi kami mempamerkan permainan yang lebih hebat, bergabung dengan baik dan berjaya menguasai bola.
“Kami sentiasa percaya diri sendiri, kami berdepan kesukaran dalam beberapa situasi tapi bermain sebagai satu pasukan dan melawan tekanan. Kami tahu jika kalah, kami akan pulang.” Czech kelihatan umpama akan terbang pulang ke Prague dalam tempoh setengah jam pertama tapi bangkit melawan sebelum tamat babak pertama.
Selepas rehat, mereka beraksi lebih baik dan Bilek menegaskan, mereka layak untuk menang.
“Kami puas hati kerana menewaskan pasukan yang bermain di tempat sendiri. Dua perlawanan mereka menakjubkan dan pasukan pilihan untuk perlawanan ini.
“Kami tidak bermain dengan baik pada 25 minit awal, gagal menemui rentak tapi kemudian kami memperbaikinya.
“Pada separuh masa kedua, kami bangkit dan sabar menanti peluang untuk menjaringkan gol.
“Amat sukar untuk kami apabila tewas perlawanan pertama tapi pemain menunjukkan mereka mempunyai moral yang tinggi dan saya sangat gembira, kami berhak untuk layak.” Muncul sebagai juara kumpulan, Czech mungkin menghindarkan diri daripada bertemu Jerman di suku akhir dan bakal bertemu Portugal atau Denmark. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)