Rabu, 25 Disember 2013

MASHITAH :TUKANG SISIR RAMBUT FIRAUN




Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun.

Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka tidak akan diganggu.Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut "Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan "Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah"Allah" itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.

Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul periksa dan kejam Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.

Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun. Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa.

Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya yang lain.Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata-kata kepada ibunya,Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".Bila mendengarkan kata-kata yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka hati.

Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia dan bahagia di dalam syurga. Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril a.s : "ItulahMakam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah.

Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di sisi Allah mereka sangat mulia. Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah. Kuatkan iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya demi mendapatkan cinta kepada Allah. Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya ?



Menulis untuk mengumpul cinta ilahi,ana ♥ :



 photo 742DB9E578B15D087A44B17F43889636_zpsa5893cd8.png

Isnin, 23 Disember 2013

ALLAHYARHAM AHMAD AMMAR :PELAJAR MALAYSIA SYAHID YANG DIMULIAKAN DI TURKI .(BAHAGIAN 2)



Ahmad Ammar, Kisah Syahid Yang Tertangguh



"Budak pandai semua ambil medik, ambil engine. Last2 kerja duduk bawah pemerintah zalim dan jahil. Tak ramai yang cuba naik atas nak ubah sistem. Sepatutnya kita budak pandai ni yang ambil tampuk pemerintahan" – Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam.
Berikut merupakan garis masa sekitar kehidupan beliau sebelum syahid :

2006 – 2008 :Bersekolah di SAM Bestari, Subang Jaya.
2009 – 2010:Melanjutkan pengajian di MaktabTentera Diraja ( RMC ) di Kuala Lumpur.
2011 – 2013 :
Beliau dihantar ke Turki oleh ibu bapanya bagi mendalami sejarah Turki Uthmaniyyah dan melanjutkan pengajian di Universiti Ankara sebelum malanjutkan pula pengajian di Universiti Marmara.Ketika menetap di Madrasah Heyrat, Ankara,beliau turut mengikuti segala aktiviti yang dianjurkan Heyrat serta mempelajari cara bermain seruling ney (instrumen muzik sufi di Turki yang menjadi kegemaran Jalaluddian ar-Rumi).
Beliau menulis risalah i-Nur karangan Bediuzzaman Said Nursi dengan tulisan tangan. Selain aktif dalam sukan sepak takraw, beliau turut melibatkan diri dalam aktiviti kebudayaan. Terjemahan drama bersiri Turki bertajuk ‘Pride & Love’ disediakan oleh arwah Ahmad Ammar di samping pernah menjadi penterjemah Bahasa Melayu di Simposium Bediuzzaman Said Nursi.                  

                                 
JULAI 2013 – NOVEMBER 2013

Dan tiadalah duduk setempat bagi orang yang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat
Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,

Berkelanalah, engkau akan dapati pengganti orang yang kamu tinggalkan,
Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan,

Aku melihat air yang bertakung, mencemar kandungannya sendiri,
Sekiranya ialah mengalir,ia akan baik, sekiranya tidak mengalir , akan tercemar.
-petikan daripada Syair Imam Syafie
                               

"Aku sangat terkesan setelah membaca syair ini..lalu aku mula berfikir,aku sudah terlalu lama hidup dalam zon selesa. Mungkin sudah tiba masanya aku mengorak langkah berkelana untuk melihat ciptaan di muka bumi milik Sang Pencipta ini"– Ahmad Ammar bin Ahmad Azzam.
                                                ……………………………………………..
            Bulan ini menyaksikan bermulanya satu pengembaraan yang dirancang sendiri oleh Allahyarham Ahmad Ammar.Antaranya :-
-Cannakale ,Turki : menyaksikan kubu pertahanan Uthmaniyyah daripada angkatan tentera laut Perancis dan Inggeris semasa Perang Dunia Pertama.
-Kemboja :Menjadi sukarelawan semasa Ziarah Ukhuwwah Fil ‘Amal(ZULFA) pada Ramadhan 1434H di samping melawat MuziumTuol Seng(bekas sekolah yang menjadi penjara semasa zaman pemerintahan Khmer Rouge).
-Rohingya Education Centre, Klang:Turut serta dalam menjayakan Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan 1434H.
-Shah Alam,Selangor : Membantu dalam menjayakan program Bedah Buku bertajuk ‘Yusuf Nada’ oleh pengarangnya Douglas Thompson dan terlibat menjadi urusetia Himpunan Solidariti Kemanusiaan yang dianjurkan pada 6 September 2013.
-Padang, Indonesia :Melawat Muzium HAMKA dan beberapa bangunan bersejarah bagi menjiwai semangat HAMKA, novelis besar Indonesia yang juga merupakan ulama’ , ahli falsafah serta aktivis politik.
-Sik, Kedah :Tertunainya impian almarhum untuk bermain sawah apabila di ajar cara membuat batas, leveling petak sawah,menjala ikan dan mencuci saluran sawah oleh Mejar(B) Zakaria.
-Turki :Antara kenangan terakhir bersama rakan ialah apabila membuat lawatan sekitarTurki termasuklah melawat makam NabiYushak.
-Syria :Mengikuti misi bantuan kemanusiaan bersama Malaysia Lifeline For Syria selama 3 hari pada akhir bulan September 2013. Berikut kisah menarik ketika almarhum di Syria.


Ketika beliau bermalam di wad hospital diSyria ,beliau terdengar bunyi bom yang sangat kuat. Beliau terus mengucap dan bersedia untuk syahid (salah satu tujuan beliau ke Syria juga adalah untuk syahid). Setelah tiada apa-apa yang berlaku,beliau terus tidur. Dalam tidurnya,beliau bermimpi bertemu bidadari. Ketika hari terakhir beliau di Syria, beliau ada bertanya dengan sorang pemandu di Syria (kebetulan driver tu boleh cakap Inggeris sedikit-sedikit) "kenapa pemuda-pemuda di sini sangat berani dan mahu syahid?" Driver tu jawab "pemuda disini dah tak pandang harta benda dan wanita,mereka semua hanya tunggu syurga dan bidadari syurga, kerana itu mereka mahu syahid". Beliau ceritakan apa yang beliau mimpi, driver tu kata "awak ni boleh mati syahid ni".  -Muhammad Bin Ahmad Zahid


-Turki :Mula digelar “Syahid Yang Tertangguh” setelah pulang ke Istanbul dengan selamat. Beberapa hari sebelum beliau dipanggil ke pangkuan Ilahi, Almarhum Ahmad Ammar dan Muhammad Bin Ahmad Zahid telah bertemu dalam satu majlis makan malam di Çamlıca.Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Dato' Seri Nazri Aziz. Kebetulan, beberapa hari sebelum itu pula, Muhammad berkesempatan bertemu dengan MenteriLuar Turki, Dr. Ahmet Davutoğlu( Arwah Ammar sangat ingin berjumpa dengan Dr. Davut) . Beliau  kata Dr. Davut seorang yang sangat bijak. Gandingan EGD (Erdoğan, Gül, Davutoğlu) sahaja sudah mampu menggerunkan musuh-musuh Turki. Malam itu beliau bercakap lebih banyak dari biasa.

-> 2 November 2013 (waktu tempatan) : Beliau dilanggar oleh sebuah ambulans kerana kakinya tergelincir ketika hendak melintas jalan. Disahkan meninggal dunia di hospital. Sahabat-sahabat beliau turut berada di hospital bagi urusan forensik.

->3 November 2013 (waktu tempatan) : Jenazah dibawa keluar dari hospital ke Rumah Mayat Kozlu sejam sebelum ibu bapa arwah tiba di LapanganTerbang Ataturk. Sewaktu jenazah dibawa ke Masjid Eyub Sultan, azan Zohor sedang berkumandang. Ribuan manusia menyempurnakan solat jenazah untuknya. Khutbah selepas solat jenazah pula disampaikan oleh Omer Dongeloglu(penceramah terkenal di Turki). Penduduk tempatan ramai bersaingan sesama sendiri untuk membawa keranda jenazah ke perkuburan. Jenazah selamat disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan yang menghadap Laut Golden Horn serta turut menempatkan sahabat Nabi S.A.W, Abu Ayub Al-Ansari R.A.


Mengapa kami hantar Ahmad Ammar keTurki, bukanke Barat. Tika menyampai ucapan di Majlis Memperingati Ahmad Ammar di Marmara Universiti dan dengan warga pelajar dan rakyat Malaysia di Istanbul, aku mengatakan kerana Surah Ar Rum surah ke 30 dlm Al Quran bicarasoal Constantinople, bukan di Itali, kerana Abu Ayub al Ansari, Jalaluddin Rumi, Muhammad al Fatih, Khilafah Uthmaniyyah, Said Nursi, PM Erdogan. Belajarlah di Turki. – Ahmad AzamAbRahman


Begitulah kata-kata bapa sang syahid. Jadi, harapnya cebisan kisah Allahyarham Ahmad Ammar ini lebih membakar semangat kita untuk terus berbakti dan lebih peduli pada umat.Juga mengingatkan kita supaya berusaha menjadi golongan yang asing.

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihiwasallam bersabda:بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam muncul dalam keadaan asing, dunia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasingkan itu.” (HR. Muslim no. 208)



Menulis untuk mengumpul cinta ilahi,ana ♥ :
 photo 742DB9E578B15D087A44B17F43889636_zpsa5893cd8.png

ALLAHYARHAM AHMAD AMMAR :PELAJAR MALAYSIA SYAHID YANG DIMULIAKAN DI TURKI .(BAHAGIAN 1)



Biodata Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam

Beliau seorang rakyat Malaysia yang belajar di Universiti Marmara, Turki. Beliau berusia 20 tahun adalah seorang pelajar yang cemerlang SPM 2010 di Maktab Tentera Diraja dan memilih menyambung pengajian dalam bidang Sejarah di Turki. Ahmad Ammar seorang ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang aktif dan bapanya Tuan Hj Ahmad Azam Abdul Rahman merupakan Presiden ABIM untuk tahun 1997-2005.


Di Turki, beliau sangat disenangi dan dihormati orang ramai kerana di usia yang muda, beliau banyak berjasa kepada masyarakat dan juga dalam ilmu agama dan aktif dalam berdakwah.Beliau juga sempat belajar di Madrasah Hayrat di Ankara.Ketika menetap di Madrasah Heyrat, Ankara,beliau turut mengikuti segala aktiviti yang dianjurkan Heyrat serta mempelajari cara bermain seruling ney (instrumen muzik sufi di Turki yang menjadi kegemaran Jalaluddian ar-Rumi).

 Beliau juga banyak mengikuti pelbagai misi kemanusiaan seperti di Syria dan sebagainya. Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam juga sangat disenangi kerana mempunyai budi pekerti yang baik, rajin, berdisiplin dan beliau juga dihormati rajin berdakwah untuk perjuangan Islam.Beliau sangat dihormati di Turki, Allahyarham Ahmad Ammar disolatkan di Masjid Ayub Sultan, Istanbul dan disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn di mana tanah perkuburan ini menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di sana.Meninggal dunia pada November 2013 jam 1.30 petang akibat dilanggar ambulan ketika melintas jalan di Istanbul, Turki.Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid dalam kehidupannya.Namun, kematiannya akibat kemalangan jalan raya pada 2 November lalu telah menyebabkan beliau digelar sebagai  “Syahid yang tertangguh” oleh para sahabatnya




VIDEO AHMAD AMMAR DALAM KENANGAN :


Kelihatan peluh masih keluar pada wajahnya.Tanda syahid.Allahuakbar.


bnda dan ayahanda arwah ammar di pusaranya.


Ammar Ahmad Azam Dimuliakan Di Turki
Pada umur yang masih muda, Ahmad Ammar telah mengembara banyak tempat untuk menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mencurah bakti untuk kesejahteraan ummah tanpa mengira bangsa dan agama
Selain itu, beliau juga telah menjadi sukarelawan untuk menyertai misi kemanusiaan seperti di negara Syria. Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid ketika menyertai misi kemanusiaan
Selain itu, Ahmad Ammar amat dikenali kerana mempunyai budi pekerti yang baik, tekun, berdisiplin, taat, bercita-cita tinggi dan sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Ahmad Ahmad juga dihormati sebagai seorang yang kuat ilmu agama dan aktif dalam dakwah memperjuangkan agama Islam

Ammar Ahmad Azam Dimuliakan Di Turki
Pada umur yang masih muda, Ahmad Ammar telah mengembara banyak tempat untuk menuntut ilmu, menimba pengalaman dan mencurah bakti untuk kesejahteraan ummah tanpa mengira bangsa dan agama
Selain itu, beliau juga telah menjadi sukarelawan untuk menyertai misi kemanusiaan seperti di negara Syria. Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid ketika menyertai misi kemanusiaan
Selain itu, Ahmad Ammar amat dikenali kerana mempunyai budi pekerti yang baik, tekun, berdisiplin, taat, bercita-cita tinggi dan sikap hormatnya kepada yang lebih dewasa. Ahmad Ahmad juga dihormati sebagai seorang yang kuat ilmu agama dan aktif dalam dakwah memperjuangkan agama Islam.


Kini 'dia' Berjiran dengan Sahabat Nabi S.A.W, Abu Ayub Al-Ansari.
Tenanglah Dikau di sana wahai Pejuang Muda milik Syurga.





Ahmad Ammar telah memilih bidang sejarah di Universiti  Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya.Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan ibunya Puan Nur Azlina Aziz. Beliau merupakan anak keempat dan satu-satunya anak lelaki Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ahmad Ammar merupakan pelajar yang sangat cemerlang SPM di RMC, namun memilih menyambung pengajian di bidang Sejarah di Turki, bersama harapan dan perancangan kedua ibu bapanya juga, untuk menjadikan dirinya pemimpin negara kita yang pakar dalam sejarah khususnya Sejarah Uthmaniyyah, dan fasih bertutur di dalam bahasa Turki serta mendapat pendidikan di sana.

madrasah HEYRAT,ANKARA.


Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali. Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang.

Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia. Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria.
Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria. Allahu Akbar! Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”.

Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik. Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad dalam angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.

Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari.  Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan. Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari? Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain?

Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah.

Taqdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki. Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan. Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’:

“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. Malah catatan terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:
“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”


Ahmad Ammar, Kisah Syahid Yang Tertangguh



Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya Tn. Hj. Azam beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulan. Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara.

Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya. Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini.

Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar. Masya Allah Tabarakallah!

Al-Fatihah.

“Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hanya pada hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan di masukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya.  (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” -al-imran:185


“Andai aku syahid, kebumikan aku di pinggir Constantinople. Agar pada suatu hari nanti, apabila aku mendengar tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku, tahulah aku bahawa janji Nabi, telah tertunai!” – Abu Ayyub al-Ansari r.a. 44H –


Menulis untuk mengumpul cinta ilahi,ana ♥ :

 photo 742DB9E578B15D087A44B17F43889636_zpsa5893cd8.png

ALLAYARHAMAH SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.(BAHAGIAN 2)



“Mak tulis ya, biar tak lupa, nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak.”
Itu antara permintaan terakhir Siti Hajar Ahmad Sabir


Antara perkongsian lain :)  :

"Berita indah dr 4 penggali kubur, kuburnya wangi ketika digali dan liang lahadnya terang.." 
(mudah-mudahan sebagai ganjaran amal kebaikan semasa hidupnya)

Ayah : kakak tak takut mati ke?
Hajar : tak..kakak dah sedia dah..
2) Ibu Bapa Hajar yg sentiasa tenang dengan bacaan Al- Quran dan 
tasbih di tangan. Dalam keadaan ini, ada sesetengah orang sibuk 
menyalahkan Doktordan sebagainya.
Ketika mana jenazah hendak disolatkan, Hujan rahmat turun 
seketika. 
3) Arwah pernah cakap kat ayah dia, dia tak sempat nak dakwah 
banyak banyak kat semua. 
(hanya 3 amalan yg dibawa ke kubur iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah amal jariah, dan doa anak2 yang soleh)

~> Dan siti hajar minta disampaikan kepada kawan2.. Yang dia minta maaf... Atas segala salah silapnya.. Tlg panjang2kan kepada teman2 yg mengenali dirinya khususnya. Bila dah sehat, ada sesuatu yg dia nak cerita. Apa dia? Maknya kata sesuatu yang mampu tingkatkan keimanan kita. 
(“Kezaliman itu terbahagi kepada tiga. Pertama kezaliman tidak diampunkan Allah. Kedua kezaliman diampunkan Allah dan ketiga kezaliman yang Allah tidak ikut campur dalam hal itu. Kezaliman tidak diampunkan Allah adalah syirik. Kezaliman diampunkan Allah adalah dosa manusia ke atas dirinya dan tuhannya. Kezaliman yang Allah tidak ikut campur adalah dosa di antara manusia dengan manusia, sehingga mereka menyelesaikannya terlebih dulu.”)

~> Ibu beliau memohon maaf kepada semua kerana sebelum ini tidak membenarkan lelaki untuk melawat, ini kerana keadaan Siti Hajar yang penuh dengan tiub untuk membantu beliau pulih dari pembedahan. Alhamdulillah sekarang tiub2 tersebut sudah dicabut, dan ibunya boleh membantu beliau menutup bahagian auratnya.
(*apabila dia memelihara auratnya pasti Allah memelihara keaibannya)

~> "Tentang kaki yg patah, saya dah tengok x ray. Patah berlaku pada kedua dua tulang kat betis . Tapi patahnya tidak bersepai. Ia seperti rekahan pada dinding. Jadi ia hanya simen dan tak masukkan besi. Menurut doktor, pada usia muda spt hajar, patah begitu boleh bersambung semula dgn lebih mudah. Lebih mudah utk hjr, sewaktu tulang itu sedang dipulihkan oleh badan, dia tidak perlu menanggung kesakitan akibat patah tulang tersebut. Nyata Allah meringankan deritanya." 
(*bila kita mudahkan jalan Allah, pasti Allah akan mudahkan kehidupan kita)

"Medium utama penjagaan/perawatan terhadap siti hajar ialah penggunaan air zam zam.
(*“Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit.”)

'Peranan saya pula sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan penuh pada Allah. " (*ada tiga doa yang di terima Allah secara langsung iaitu doa orang teraniaya,doa orang yang bermusafir dan doa orang tua(ibu dan Bapa) terhadap anaknya)

#mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran kepada kita sbg khalifah Allah di muka bumi ini, walaupun tidak pernah mngenalinya tetapi mengikuti perkembangannya seperti telah mengenalinya. Al-fatihah



 photo 742DB9E578B15D087A44B17F43889636_zpsa5893cd8.png

ALLAYARHAMAH SITI HAJAR BINTI AHMAD SABIR.(BAHAGIAN 1)


 Siti Hajar Ahmad Sabir, 20, pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) yang bertarung nyawa selama dua minggu di Hospital Melaka selepas terbabit dalam kemalangan di Solok Duku, Masjid Tanah, di sini, 6 Januari 2013 yang lalu  bersama 3 orang sahabat dan Mengalami keretakan tulang tunjang.Beliau menghembuskan nafas pada 8 Rabiulawal 1434. Berikut adalah rentetan peristiwa saat saat terakhir arwah..(diceritakan oleh ibu beliau)Pn Nuraini Binti Che Mat :

6 Jan 2013 (Ahad)
Kami dapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Segera bergegas ke Hospital Besar Melaka. Ramai pelajar UTEM sedia menunggu berita kemalangan itu.

7 Jan 2013 (Isnin)
Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Pegawai HEPA UTEM mula membuat lawatan.Doktor mencadangkan pembedahan segera dilakukan. Masalah kewangan mula berbangkit, wang kami  tidak mencukupi’

8 Jan 2013 (Selasa)
Gerakan mengumpul derma utk pembedahan Hajar berjalan lancar. Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari. Pukul 6 ptg, pembedahan selesai.

9 Jan 2013 (Rabu)
Kesihatan Hajar baik sebelah pagi tapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah mula turun, lalu ubat untuk menaikkan tekanan darah segera diberikan. Muka dan badan mula sembab sebab dah 2 hari hanya drip air tanpa makanan. Sebelah petang, susu disalurkan ke perutnya melalui tiub. Walaupun tulang belakang telah di betulkan kedudukannya, saraf tunjang tetap telah tercedera dan kita menunggu dan berharap kekuasaan Allah Ke atas Hajar berkat doa semua sahabat di dalam dan di luar negara.

10 Jan 2013(Khamis)
Selepas Subuh tadi,  kami lawat dia dan bacakan ayat2 suci dan syifa’. Dia tenang je.Kami berbual. Memang dia tak gelak tapi matanya lebih bermaya. Kami ceritakan tentang  kawan2 yang datang, yang berkirim salam dan sebagainya. Memang dia tak dapat lawan bergurau, ketawa besar macam biasa tapi dia dengar kami tu pun dah cukup. Langsung tak tunjuk airmata pada dia. Kami usap tangannya, usap pipi dan dahi berkali2 dan bercakap dengan nada yang ceria juga. Tak boleh nak pandang dia dengan mata sayu, cakap dengan suara sebak..tak boleh. Kalau kita positif, kita ceria, aura kita berpindah kepadanya.Ramai yang bersimpati dengannya lalu mencadangkan pelbagai bentuk rawatan pemulihan. Ada yang mencadangkan pergi kepada sekian-sekian dukun patah jika Hajar telah keluar dari Hospital nanti. Ada juga peniaga air yang menawarkan sebotol air pada harga RM25, dan menjanjikan penyembuhan dalam 10 minit sahaja. Hajar senyum . Pesannya, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah.

11 Jan 2013 (Jumaat)
Doktor dah benarkan makan bubur. Kami sudukan dengan sup ayam, sup sayur, ikan dan buah2an. Minum air zam zam pakai straw. Memang haus betul dia. Berkat air terbaik di atas mukabumi, dia segera nampak bertenaga. Menitis airmata sahabat2 melihat dia telah makan. Berebut2 mereka nak tolong layan Hajar. Suasana ceria berlanjutan dengan cerita2 lucu mereka.Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya.UTeM sendiri menganjurkan solat hajat di Masjid, melibatkan kerjasama BADAR dan Majlis Perwakilan Pelajar . Lawatan  Naib Canselor, memberikan suntikan semangat luarbiasa kepada Hajar. Dia ingin sembuh. Dia ingin kembali belajar. Dan dia dijanjikan pelbagai kemudahan pembelajaran jika dia sihat dan masih berminat menuntut ilmu.
Sedikit jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)
Doa dan kata-kata peransang tak henti2 masuk ke  telefon untuk memberi semangat kepada Hajar. Kami  perlu kuatkan pernafasannya. Latihan pernafasan mula diberikan supaya oksigen banyak masuk ke badan dan dia dapat melawan kuman2 yang datang menyerang. Hasilnya, kedua dua tangan dah boleh diangkat tinggi. Selepas ini, kami nak teruskan dengan latihan menggenggam. Semua ini menyakitkan, kerana itu motivasi dari sahabat2 amat diperlukan. Peranan saya sebagai ibu adalah untuk mengukuhkan keimanannya dan meletakkan pergantungan harapan sepenuhnya pada Allah.
Sebelah petangnya, Hajar di keluarkan dari ICU Mawar dan diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013(Ahad)
Akhirnya berbekalkan sedikit kekuatan yang diberi oleh Allah, saya terangkan situasi sebenar, kesan kemalangan itu kepada Hajar. The whole truth. Dan sebagai hambanya yang patuh, dia Redha dengan apa saja Qada dan QadarNYA. Pendapat doktor itu berdasarkan pengetahuan manusia. Yang mana ia hanya ibarat setitik air di lautan yang luas. Terlalu kecil kemampuan manusia berbanding dengan kekuasaan Allah itu sendiri. Baginya hidup mesti diteruskan, ada banyak lagi nikmat tuhan yang sedang dinikmatinya. NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?
Setiap hari Allah menuntut perjanjian kita dengannya sebelum kita dilahirkan. Iaitu untuk mengakui DIA itulah tuhan kita yang layak disembah. Dia yang maha berkuasa, yang memiliki segala2nya. Sedang kita inilah si fakir yang tak punya apa2…dan sentiasa meminta2 darinya. Kalau dah lidah kita mengakui Allah itu maha berkuasa, maka ikrarkan pula dihati..yang DIA mampu mengubah nasib Hajar lantas menyembuhkannya sekalipun.

Takada rahsia lagi.  Dia dah tahu dirinya lumpuh sementara. Dah tahu situasi tulang belakangnya, saraf tunjangnya yang cedera dan juga pembedahan yang telah dilaluinya. Tanpa setitik airmata, tanpa keluhan, tanpa menyesali nasib, tanpa mematahkan semangatnya untuk terus hidup, katanya kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi diluar sana yang perlukan bimbingan dan kerana Allah masih selamatkan nya, dia akan bersyukur. Pasti ade hikmahnya.

Malam itu, sedang saya membacakan ayat2 suci kepadanya, dia kata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?” Saya terdengar seruan bersahut2an dua atau tiga kali dari arah yang tak pasti. “Orang azan kot” tingkah saya. Dia jawab “mana pulak, azan mana ada SUBHANALLAH.. orang tu sebut SUBHANALLAH berkali2. Akak dengar, Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?.”akuinya penuh jujur. Saya rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” “Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…” jawabnya naif’

14Jan 2013 (Isnin)
Sebelah siang Hajar demam.Batuk2 Kecil, Menjelang maghrib, cuaca sejuk, batuk makin memberat. Demam semakin tinggi mencecah 39C. Selsema, kahak tersumbat di saluran kerongkong dan belakang hidung. Hajar semakin lemah. Apabila pernafasan tersekat,Hajar menggelepar mencari nafas. Doktor segera bertindak bila kami menjerit meminta bantuan kecemasan  diberikan dengan menyedut kahak menggunakan mesin penyedut. Tiup dimasukkan ke saluran kerongkong dan saluran hidung. Prosedur yang menyakitkan dan tidak selesa. Tapi masih tak banyak membantu, selsema mengalir lagi, dan kesejukan malam menyebabkan hidung  tersumbat semula. Kami disuruh keluar semasa bantuan kecemasan itu. Keadaan agak membimbangkan. Kami berdua berusaha menolong dengan membacakan ayat2 suci dan zikir2. Menjelang  tengah malam barulah dia bernafas selesa dan tidak mencungap cungap lagi. Keletihan  yg teramat sangat..tetapi bersyukur terselamat dr situasi bahaya. Stabil.

Bila dah tenang, Hajar bercerita semula, semasa doktor membantunya dan kami memohon bantuan Allah, pertolongan tersebut telah datang. Bagaimana? Secara tiba2 dia sendawa berkali kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yg tersumbat tidak tersumbat lagi dan dia boleh bernafas dgn selesa. Kemudian, dia terasa mukanya dipercikkan air 3 kali. Air yang sgt sejuk dan selesa. Dia yang sedang demam panas dan terasa muka berbahang, tetiba rasa sangat selesa dan demam mula menurun.SUBHANALLAH.

Hari dah jauh malam, suami saya nak pulang menjaga anak2 yang lain di rumah. Suami beritahu Hajar, dengan cepat dia jawab “Ayah percaya Allah tak?”jawab suami”Percaya”. Tambah Hajar lagi, “Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah..Allah ada jaga akak kat sini.”Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan” kenapa senyum?” Dia jawab…”ada bau wangi sangat”.” Selalu ke akak terbau macam tu?”Jawabnya, “Kadang2 aje, kadang2 masa nurse datang, kadang2  waktu sahabat ziarah” Hati kami mula rasa sesuatu. Suami saya tak jadi balik. Kami berdua tertidur kepenatan menemani dia malam tu. Dipihak dia pula, terasa sangat aman dan damai. Malam yg sejuk dirasakan nyaman. Langsung tak rasa lapar dan dahaga. Menurutnya, sepanjang malam, dia memerhatikan kami berdua tidur dan mensyukuri apa saja nikmat yang sedang dinikmatinya.

15 Jan 2013 (Selasa)
Sebelah pagi Hajar masih tak bermaya. Semakin naik matahari, hidung semakin kurang tersumbat dan kesihatan mula beransur baik. Perjuangan untuk hidup diteruskan lagi. Bila demam berkurangan, Hajar akan kembali ceria, makannya akan berselera, makan pudding, bubur, sup ayam dan buah2an.. Rakan2 pun gembira melayan kerenah dia. Bila dia sebut teringin makan pisang…tetiba ada saja tetamu yang bawakan. Dia duduk tapi kepalanya agak senget - masih tak boleh kawal gerakan kepala. Spontan dia kata, “Kalau ade bantal kecil, boleh letak kat leher”  lalu Allah perkenankan hajatnya. Bantal yang diidamkan dibawa oleh sahabat yang prihatin pada hari yang sama hajatnya diutarakan. (KUN FAYAKUN)

Tekak Hajar masih terasa sakit – perit. Mungkin sebab guna tiub penyedut kahak sebelumnya. Jadi ubat demamnya perlu dihancurkan dan dijadikan larutan. Saya bancuhkan paracetamol dengan sedikit air zam zam. “Akak, ingat ye, ubat ni alat je, Allah yang menyembuhkan” Dia angguk. Ubat di sudukan ke mulutnya. Pahit. Kecil matanya. Segera saya berikan air zam zam untuk diminum. Lepas itu dia tanya, “Air ape tadi?”. “Ehh..air zam zam lah, mana ade bagi air lain.” Dia senyum lagi. Saya tertanya2. Dia kata “Allah tolong akak, ubat tu memang pahit, tapi bila minum air zam zam tu, rasa macam air tu manis, ia basuh semua rasa pahit dilidah akak, Esok mak cubalah” Macam mana ni….nak percaya tak?

Malamnya, dia kena makan ubat lagi. Tanpa gentar, dia menelan ubat pahit tu dan tinggalkan sedikit untuk saya. Nekad untuk menyampaikan dakwah, saya telan baki ubat itu. Memang pahit. Dan bila air zam zam diminum, rasa pahit itu hilang tak berbekas. Seperti lumpur di lantai yang tertanggal semuanya bila air disiram kepadanya.
Kemudian dia mula bertanya bagaimana dia nak  solat dalam keadaannya seperti itu. Saya terkedu. Telefon terus saya capai, meminta bantuan ilmu dari rakan2 yang lebih arif. Dan seperti dijangka, apa yang dimintanya, mudah benar utk Allah tunaikan. Ade saja sahabat yang prihatin dan sudi menolong.

Bila Doktor pelatih datang untuk mengambil sampel darah, Hajar menangis. “Akak dah lemah, makan pun tak seberapa, mana nak ada darah banyak. Doktor asyik ambil darah..tangan doktor tu besar,kematu, tak sensitive. Tangan akak kecil, Sakit tau ditampar2 tangan akak, dicubit2…dah tak jumpa urat darah tu, tak yah lah ambil darah. Akak tak nak doktor tu lagi”. Sayu hati mendengar rintihannya, tapi macamana? Mana boleh pilih2 doktor. Tapi Allah maha mendengar, esoknya doktor lain pula mengambilalih.

16 Jan 2013(Rabu)
Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Macam kembung. Perut mula membengkak dan bergerak2. Saya sapukan sedikit minyak angin dan bacakan rukyah. Dia terasa nak muntah. Ya memang.. dia betul betul muntah. Berlambak2 muntah air hijau keluar dari mulutnya. Kami beri air zam zam kerana muntah tersebut memahitkan tekak. Tapi muntah berterusan…lagi…. lagi… dan lagi…”Akak tak nak pelawat hari ni”. Dan tengahari itu, memang takada pelawat yang datang.

Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah…Dia jawab  “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Terkedu. Saya pun tinggalkn dia untuk solat. Ayahnya pula pergi menjemput adiknya di Malacca Central. Selesai solat, saya dapati nurse sedang membersihkan Hajar. Bajunya yg terkena muntah digantikan. Kemudian dia kata, “Haa..kan betul akak cakap, Allah ada bantu akak. Mak pergi je, akak muntah, tapi nurse yg sedang rawat makcik kat sebelah tu ternampak akak muntah dan dia datang bantu.

Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah hajar. Muntah…minum lagi…dan kemudian muntah semula. Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, Nampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari  Allah.

Ayahnya pula kata “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan computer yg lebih ringan untuk akak, sesuai dgn kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia. Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang2 yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga, Akak zikirlah ye”. Angguk.

Walaupun perbualan itu amat menyentuh hati, tapi masih tak mampu menggugurkan air matanya. Dia kata” Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau mcmana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa . Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak”

Untuk adik2nya, dipesankan agar ubah penampilan berpakaian. Untuk rakan2, dia minta maaf dan memberikan kemaafannya kepada mereka. Adik2 dipujuk agar pakai jubah2 dan tudung dia yang banyak. Dia turut beritahu minta digantikan puasanya dan uruskan solat yg tertinggal sepanjang dia berada dihospital tu.  Ada beberapa hutang kecilnya minta dilunaskan.

Kami tanya lagi. “ susah ke rasanya nak muntah tu tadi?” Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong.” “Tolong macamana?” tambahnya “Dah badan akak tak boleh keluarkan air2 kotor tu dgn cara biasa, Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je” MASYA ALLAH. Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah. Sentiasa berbaik sangka  Allah menolongnya. Benarlah seperti hadis qudsi,  Allah bertindak mengikut sangkaan hamba terhadapNYA. Jika kita yakin Allah menolong kita, maka Allah akan tolong.
Keputusan Xray menunjukkan perut dan usus besar membengkak teruk.

17 Jan 2013(Khamis)
Situasi kritikal. Tak mahu pelawat lagi. Doktor sedang cuba menyelamatkan . Perut membengkak terus. Usus besar tidak menyalurkan najis dengan sempurna. Menurut doktor semuanya ada kaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan.  Ultrasound pula  diambil.  Hajar tenang. Berserah pada Allah menentukan yang terbaik untuknya.

Selepas waktu melawat tengahari, demam memburuk semula. Perut yang membengkak menyukarkan pernafasan. Doktor mula gelisah. Satu tiub dimasukkan ke perut melalui hidung bagi menyedut cairan di dalam perut. Lebih 1Liter cairan dikeluarkan. Hajar diarahkan berpuasa sehingga punca pembengkakan itu diketahui.

Demam lagi. Saya sudukan juga tiga sudu air zam zam ke mulutnya dari masa ke semasa. “Akak, jgn bimbang, kita orang  Islam dah dilatih berpuasa. Redha ya .. mak bagi air zam zam ni hanya utk basah tekak, memang tak sempat sampai ke perut pun ia akan kering sendiri. Mintalah Allah hilangkan dahaga akak” . Dalam keletihan beliau jawab, “beratnya dugaan Allah ni , mak..” “memanglah…kan syurga Allah tu mahal harganya…sabar  ya.. Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat” Dia angguk.. Doktor pasang drip…Dalam hati, saya tak putus2 membacakan ayat2 suci dan selawat untuk menolong beliau melalui kesukaran itu.

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang. Dia minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Dan terasa semua badan sakit2. Saya terdiam. Saya rasa, dia dah mula nak nazak. Waktu tu saya berdiri membelakangkan tingkap. Dia suruh saya beralih kedudukan. Dia nak pandang keluar tingkat. Saya tanya , nak tengok apa? Katanya : nak tengok Allah. Saya terkedu lagi. Katanya :” Allah marah sebab tak dakwah sungguh2. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.” Saya jawab “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah,” Angguk.Tak lama lepas tu, dia kata, matanya dah mula kabur. Saya membisikkan agar dia terus mengingati Allah. Angguk.Dalam termengah2 dia berkata”mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan” “ Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya. Sekali lagi dia mengejutkan saya, bila dia kata dia dah tak boleh nampak, lalu bola matanya bergerak ke atas. Segera saya talkinkan berulang kali. Doktor dan  nurse mula berkejar datang nak menyelamatkan. Saya disuruh keluar. Mereka mula memasang topeng oksigen,dan  menaikkan tekanan darah.

Hati saya dah sebu. Saya tahu tadi tu Hajar dah nazak. Persiapan dibuat utk pindahkan Hajar ke ICU semula. Waktu maghrib tu, kami berkejar kejaran tolak  katil Hajar ke ICU okid.

Hajar segera dibius dan getah saluran pernafasan dipasang ke mulutnya. Mesin pernafasan mengambilalih proses pernafasan. Itulah kali terakhir untuk dia berkata kata kerana selepas itu dia terus ditidurkan dan tak bangun2 lagi.

18 Jan 2013Jumaat)
Kami dimaklumkan ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Dikhuatiri usus Hajar telah bocor. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR. (Satu. Dua, Tiga, Empat, ……)saya nampak prosedur tu dr luar cermin biliknya. Hati saya terguris teruk…cpr dilakukan di dada, betul2 di atas kawasan pembedahan tulang belakangnya. Kalau dia selamat sekalipun, apa nasib tulang belakang tu, kan baru je lepas dibedah.
Walaupun jantung dapat digerakkan kembali, namun jantung Hajar hanya bekerja 1% sementara mesin pernafasan yg bekerja  lagi 99% .Hakikatnya carta pernafasan di paparan skrin tu terasa semacam gimik.

19 Jan 2013 (sabtu)
Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Sekiranya benar, pembedahan yang lebih besar diperlukan utk memotong usus yang bocor itu dan mencantumkan semula. Serentak dengan itu, kami diberi borang kebenaran  pembedahan untuk ditandatangani. Semuanya atas nama nak menyelamatkan nyawa Hajar. Kami buntu. Suami meminta tempuh untuk bertenang dan berfikir. Kami perlu solat. Kami perlu berfikir dengan tenang. Kami mohon pertolongan melalui pertolongan Allah. Pukul 2 pagi, kami dipanggil semula. Terdesak, kami benarkan tembukan dilakukan diperut. Hanya pada Allah kami bermohon pertolongan dan petunjuk.

Belumpun sempat selesai pembedahan kecil itu, seorang lagi doktor memanggil kami. Berita besar yang disampaikan, buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya atau lebih tepat lagi..dah rosak dan perlukan dialysis darah. Hajar takkan boleh bertahan kalau darahnya tak dicuci kerana toksin dalam tubuh akan meningkat dan meracuni organ2 yang lain. Terdiam. Bermimpikah kami? Lepas satu, satu, organ badannya merosak. Namun begitu, dialysis tidak boleh dilakukan dengan selamat kerana keadaaan Hajar yang tidak stabil. Jantungnya dah pernah berhenti, dan boleh berhenti lagi semasa dialysis. Darahnya dah terlalu cair..dah lama tak makan. Pendarahan juga boleh berlaku kerana tekanan darah yang rendah. Jadi apa yang boleh kami perbuat? Sesudah berbincang, kami ambil keputusan tidak membenarkan cuci darah dijalankan kerana risikonya besar.

Tak lama lepas tu, pakar usus pula mengesahkan yang usus Hajar memang benar2 bocor dan pembedahan besar diperlukan. Kami tanya, adakah Hajar stabil untuk dibedah? Jawapannya TIDAK.Kami Tanya adakah masalah usus itu boleh selesai selepas pembedahan tersebut? Jawapannya. TIDAK PASTI MASALAH SAMA TAKKAN BERULANG LAGI. Lalu kami berikan jawapan yang paling selesa bagi kami iaitu tidak membenarkan sebarang pembedahan dilakukan lagi. Kami juga tidak membenarkan prosedur cpr dilakukan jika jantung terhenti lagi.

Doktor bercakap dengan berhati2. “Kalau itu keputusan Puan, Puan sedarkah apa akibatnya nanti?” Saya jawab, “ya, saya sedar, saya akan kehilangan anak saya, dan saya redha. Malah, kalau boleh , saya nak segala ubat dan mesin pernafasan dihentikan” Doktor menjawab, “Itu tak boleh, menyalahi etika, itu seperti membunuh pesakit. Kami tak boleh membunuh pesakit, tapi kalau Puan tak mahu lakukan semua yg kami dah cadangkan, mesin pernafasan tetap perlu terus dihidupkan. Cuma pesakit takkan mampu bertahan lama kerana toksin yang tinggi akan meracun dirinya sendiri.

Selepas itu, doktor terus mengawasi Hajar, dan pelawat telah dibenarkan menziarah tanpa had masa kerana Hajar hanya menunggu masa untuk pergi meninggalkan kita semua. Semua keluarga telah dimaklumkan, Hajar tak putus2 diziarahi oleh sahabat2 yang mengenali dan bersimpati. Masing2 ingin menatap wajahnya untuk kali terakhir

20 Jan2013 (Ahad)
Pagi itu kami berdua khusyuk dlm doa masing masing, hanyut dalam munajat kami kepada Allah memohon bantuan dan keringanan untuk sakaratul maut anak kami.Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratulmaut dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu dan restu ayah. Pergilah sayang, TUHANMU yang lebih menyayangimu telah menunggu. Terima kasih YA ALLAH kerana telah meminjamkan kami anak yang sebaik ini. 20 tahun kami berbahagia dengan kehadirannya.Terima kasih kerana menganugerahkan akhlak yang mulia terhadap anak kami ini. Kini kami kembalikan ia kepadaMU YA ALLAH.Dakapilah ia dengan limpahan rahmat kasih sayangMU yang maha Agung. Amin.. amin..amin..ya rabbal alamin.

Siti Hajar selamat dikebumikan di kampung keluarganya dengan lancar.Begitu ramai sahabat, pensyarah, pegawai university dan saudara mara hadir memberikan lawatan terakhir, memandikan, menyembahyangkan dan mengkebumikan beliau. Seluruh alam seakan turut bersedih dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati. Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang,( tetapi tidak pula hujan), turut menyentap  tangkai hati insan2 yang jujur menyayanginya.



p/s :Allah,mampukah aku menjadi mar'ah solehah sepertinya :'( 



Menulis untuk mengumpul cinta ilahi,ana ♥ :

 photo 742DB9E578B15D087A44B17F43889636_zpsa5893cd8.png