Ahad, 16 Jun 2013

QARUN : KEKAYAANNYA MENGKUFURKAN.



Mukaddimah Kisah Qarun

Sudah menjadi lumrah  setiap makhluk ciptaan Allah Taala wujud dalam keadaan berpasangan dan berlawanan jenis  dan tingkah laku. Baik lawannya buruk, hitam lawannya putih, sejuk lawannya panas, racun lawannya penawar, cantik lawannya hodoh dan begitulah seterusnya. Jika ada positif tentunya ada negatif. Jika ada syurga tentunya ada neraka.  Jika ada hizbullah (parti Allah) sudah pasti wujud juga hizbusyaitan (parti syaitan). Semua situasi ini merupakan dalil-dalil kewujudan Yang Maha Khaliq (Pencipta). Dalam memperkatakan tentang hizbullah dan hizbusyaitan, al-Quran mengutarakan berbagai kisah para Anbiya’ dan umat mereka yang terdahulu sebagai tauladan dan juga sempadan kepada umat Nabi Muhammad selaku Rasul akhir zaman. Antaranya ialah kisah Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa alaihissalam. Istilah atau nama Qarun (قارون) dinyatakan sebanyak 4 kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Qasas  ayat 76, surah al-Qasas ayat 79, surah al-Ankabut ayat 39 dan juga surah Ghafir ayat 24.  
Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau  “Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri”. Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu  dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan. Dia (Qarun) berkata: “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku”. Dan apakah dia tidak mengetahui bahawa Allah  telah membinasakan umat-umat sebelumnya  yang mana lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu  tentang dosa-dosa mereka.  (Surah al-Qasas, ayat 76-78).
Dan dia tampil di hadapan kaumnya dalam keadaan segak berhias (dengan segala kebesaran yang dimiliki). Maka golongan yang tamakkan kehidupan dunia berkata “Alangkah baiknya kalau kita perolehi sepertimana yang diperolehi oleh Qarun, iaitu kekayaan yang melimpah dan kemuliaan yang besar”. (Surah al-Qasas, ayat 79).
Dan Qarun, Fir`aun  dan Haman, sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa alaihissalam dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya , namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab perit Allah Taala.   (Surah al-Ankabut, ayat 39).
Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata) kepada Fir-aun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu. (Surah Ghafir, ayat 23-24).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)