ASMA' ABU BAKAR (PART 2)
Pada malam ketiga, Asma' telah datang ke tempat persembunyian Rasulullah s.a.w dengan membawa Seorang penunjuk jalan, iaitu Abdullah bin Uraiqith. Kemudian Nabi s.a.w bersama Abu Bakar r.a meninggalkan gua itu untuk meneruskan perjalanan. Manakala Asma' pula membawakan bungkusan makanan untuk mereka. Oleh kerana Asma' tiada tali untuk mengikat makanan itu pada unta, maka ia membuka tali ikat di pinggangnya, lalu dikoyakkannya menjadi dua utas tali, iaitu satu dijadikan pengikat makanan pada unta, dan yang satu lagi diikatkan pada pinggangnya. Dan sejak itulah Asma' telah terkenal dengan panggilan Zatun Nithaqain -'Wanita yang mempunyai dua ikat pinggang'.
Setelah berkhidmat dan membantu perjuangan Nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, Asma' segera kembali ke rumahnya. Namun, belum sempat Asma' tiba di rumahnya, beberapa orang kaum Quraisy dengan diketuai oleh Abu Jahal, sudah berada di hadapannya. Asma' ditanya dengan berbagai pertanyaan. Tetapi beliau tetap menjawab, "Saya tidak tahu." Hal itu telah membuat Abu Jahal marah, lalu menampar Asma' dengan tangannya yang kasar itu. Tamparan itu terlalu kuat, sehingga menyebabkan anting-anting Asma' tercabut dari telinganya. Rasa sakit dari tamparan Abu jahal itu terus terasa oleh Asma' sampai beberapa hari, bahkan beliau tidak dapat melupakan peristiwa tersebut seumur hidupnya.
Asma' telah memeluk Islam bersama-sama golongan yang awal memeluk Islam. Dikatakan beliau adalah orang yang kelapan belas dalam urutan orang-orang yang mula-mula memeluk Islam. Umur Asma' lapan tahun lebih tua dari adiknya iaitu 'Aisyah r.a yang merupakan isteri kesayangan Rasulullah s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)