Isnin, 20 Mei 2013

ASIAH SI RATU SYAHADAH (PART 6)


Syahid Seorang Wanita

Selama 40 tahun, Asiah merahsiakan keimanannya daripada Firaun. Pada suatu ketika, Firaun membunuh Mashitah dan anaknya dengan memasukkan mereka ke dalam kawah yang menggelegak airnya. Mashitah adalah isteri kepada seorang pegawai yang begitu dipercayai oleh Firaun yang bernama Hazaqil. Namun begitu, Hazaqil sebelumnya telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh Firaun sendiri setelah Hazaqil menyatakan keimanannya atas ajaran Nabi Musa.
Asiah sedaya upaya membela Mashitah di saat Mashitah dibunuh oleh Firaun sehingga akhirnya Firaun mengetahui perihal keimanan Asiah. Menyedari keimanan Asiah kepada Allah, Firaun lantas memerintahkan supaya beliau diseksa dengan segala bentuk seksaan. Namun begitu, Asiah tetap teguh dengan keimanannya.
Firaun yang terkenal dengan kezalimannya itu lalu memerintahkan supaya memaku tubuh Asiah dengan empat buah pasak yang diperbuat daripada besi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran, Allah berkata, “Dan Firaun yang mempunyai pasak-pasak (paku-paku) yang sudah berbuat sesuka hati dalam negeri.” Surah Al-Fajr, ayat 10 hingga ayat 11.
Firaun menyeru Asiah supaya murtad, namun Asiah mengatakan yang Firaun hanya dapat menyeksa dirinya sahaja sedangkan dirinya berada dalam jagaan Allah. Biarpun tubuhnya diseksa, namun keimanannya tidak berkurang bahkan kecintaannya kepada Allah semakin bertambah dan mendalam. Asiah pada saat kematiannya berdoa, “Ya Allah, Ya Tuhanku, bangunkanlah untuk aku sebuah rumah di sisi-Mu di dalam syurga.”
Pada saat Asiah hampir dibunuh oleh Firaun, Allah Yang Maha Kuasa sudah pun membukakan hijab-Nya lalu Asiah dapat melihat rumahnya di syurga sebelum beliau dibunuh. Ternyata Asiah tergolong dalam orang yang beruntung sebagaimana janji Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)