Isnin, 17 Jun 2013

BILAL BIN RABAH :MUAZIN PERTAMA DALAM ISLAM (PART 3)






Kesabaran dan ketabahan beliau menanggung penderitaan

Bilal merupakan salah seorang Muslim yang paling banyak menerima penyeksaan, kekejaman dan kengerian daripada golongan musyrikin. Sebahagian besar dari kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga tempat mereka berlindung dari kekejaman golongan musyrikin kecuali beliau, Ammar bin Yasir bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib. Faktor sedemikianlah yang menyebabkan mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy untuk melepaskan geram mereka terhadap Islam.

Pada suatu hari berlaku peristiwa di mana apabila matahari tegak berdiri di tengah-tengah langit dan pasir Mekah panas membakar kerana cuaca terlalu panas, Umaiyyah bin Khalaf bersama-sama dengan sekumpulan golongan musyrikin menanggalkan pakaian Bilal, mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemurnya di bawah panas terik cahaya matahari dalam keadaan pasir yang panas membakar serta mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil mereka memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad s.a.w. Walau bagaimana hebat sekalipun penyeksaan yang mereka timpakan kepada Bilal namun Bilal tetap dengan pendiriannya di mana beliau tidak menyebut apa-apa kecuali perkataan yang bermaksud: Allah yang Maha Esa! Allah yang Maha Esa!

Apabila Umaiyyah bin Khalaf merasa putus asa menyeksa Bilal, Umaiyyah mengikat leher beliau dengan menggunakan tali yang besar kemudian menyerahkan kepada orang-orang yang bodoh dan kanak-kanak seterusnya dia meminta supaya mereka mengheretnya ke seluruh kawasan Kota Mekah dan mereka membawanya ke kawasan-kawasan yang berbatu sambil berlari.

Selepas peristiwa tersebut Abu Bakar r.a memerdekakan Bilal secara membelinya daripada Umaiyyah bin Khalaf dengan harga 9 tahil emas. Umaiyyah bin Khalaf sengaja menjualnya dengan harga yang mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membelinya sedangkan di dalam hati dia berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membelinya dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga 1 tahil emas". Sebaliknya Abu Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas".

Bilal bin Rabah r.a terlalu gembira dengan kemerdekaan tersebut kerana beliau dapat memulakan era kehidupan baru di dalam suasana kehidupan yang penuh dengan kebebasan yang tidak pernah dijanjikan kepadanya. Kemudian beliau berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan rombongan umat Islam yang berhijrah ke sana


Love to be a blogger writer,ana :

 photo 742DB9E578B15D087A44B17F43889636_zpsa5893cd8.png

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)