‘Saya anak Adam’
KUALA LUMPUR: “Saya dah bayar RM5,000 untuk tinggal di sini kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan kamu jangan ganggu saya kerana saya anak Nabi Adam dan semua benda yang ada di sini milik saya,” kata seorang lelaki gelandangan yang dipercayai kurang waras ketika ditahan pegawai DBKL dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sebuah padang permainan di Taman Sri Gambut, malam kelmarin.
Lelaki berusia 40-an itu turut mendakwa mempunyai wang tunai RM50,000, malah sebuah pondok rehat yang dibina di situ didakwa miliknya selepas membelinya daripada DBKL.
Dia yang dipercayai menetap di situ sejak dua tahun lalu turut mengubah suai pondok rehat terbabit menjadi sebuah rumah lengkap dengan almari, dapur dan tilam sebagai tempat tidur.
Lelaki terbabit antara 43 gelandangan yang ditahan dalam operasi bersepadu ke atas kutu raya yang dijalankan DBKL dengan kerjasama JKM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Alam Flora.
Timbalan Penguasa Penguat kuasa DBKL, Basiran Miskun berkata, lelaki terbabit ditahan hasil maklumat penduduk mengenai kehadirannya yang menjadikan kawasan taman permainan sebagai tempat tinggalnya.
Menurutnya, laporan juga dibuat di Balai Polis Jinjang selepas menerima aduan penduduk pada 5 Jun lalu dan bertindak atas aduan terbabit, pihaknya bersama JKM mengadakan operasi di kawasan terbabit sebelum JKM mengambilnya untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi dari jam 10 malam hingga 3 pagi ini menahan 39 rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan lanjut di Bilik Gerakan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, hanya seorang lelaki diambil JKM dan 17 ditahan AADK, sementara selebihnya dibebaskan semula,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi.
Basiran berkata, selain Taman Sri Gambut, pihaknya turut mengadakan operasi di sekitar pusat bandar iaitu Dataran Maybank, Bulatan Sultan Muhamad dan Pasar Seni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Asaalamualaikum...
jangan lupa tinggalkan komen anda yerp:)